Alhamdulillah, aku masih berpeluang bernafas di bumi Allah. Masih dipinjamkan oleh-Nya untuk menemani dan menghiburkan hati ummi dan abi. Tiga tahun adalah satu jangka masa yang singkat bagi seorang anak yang normal, namun adalah satu perjalanan yang panjang bagi ku, seorang anak istimewa.
Lahir ku di dunia yang fana ini, banyak memberi keinsafan dan pengajaran kepada ramai orang. Ummi dan abi adalah insan yang sangat terkesan dan bertuah dengan kehadiran ku. Haruslah... kerana aku anak mereka. Anak yang serba kekurangan, anak yang ditakdirkan untuk hidup dalam seribu kepayahan. Namun, hati ini bersyukur kerana Allah meletakkan ku di bawah jagaan seorang ibu yang sangat tabah. Aku bersyukur lagi kerana diberi peluang untuk berlindung di bawah kasih sayang seorang ayah yang tiada penghujungnya. Meskipun diri ini tidak dapat memberikan kepuasan kepada mereka... tapi aku bangga punyai ummi dan abi yang teramat menyayangi ku. Cukup andai 'kebanggaan' itu ku rasai seorang diri.
Masih ku ingat, ketika aku di dalam rahim seorang wanita, seringkali wanita itu berbisik dengan ku. Seringkali aku mendengar kata-kata rindunya untuk melihat ku menerusi alat scan di klinik. Belaiannya menerusi dinding perut, membuatkan hati ini tertanya; Bagaimanakah rupa wanita yang mengendong ku ke hulu ke hilir ini? Siapakah dia? Apakah yang akan dia lakukan pada ku tatkala aku sudah keluar dari rahimnya kelak? Mampukah dia menjaga ku sebaik, sebagus dia menjaga ku ketika aku di dalam lingkungan air ketuban ini? Baikkah dia? Dengan siapakah lagi aku akan ditemani? Mahukah dia sentiasa bersama ku dalam senang atau pun susah? Apakah yang harus ku panggil wanita ini? Dapatkah dia menerima ku seadanya?
Takdir untuk ku menemui insan istimewa ini sudah ditentukan Allah. Alhamdulillah, aku dapat juga menatap wajah wanita ini walaupun kelahiran ku penuh dengan keperitan dan kesulitan. Itu bukan pinta ku, bukan juga pinta wanita ini. Segalanya telah tersurat. Aku sudah berjanji dengan-Nya, walau dalam senang atau susah... aku tetap mahu berada bersama wanita yang mengandungkan ku selama 9 bulan 10 hari ini. Aku tetap mahu di bawah jagaan dia. Wanita yang sangat ku sayangi dan kasihi itu adalah ummi ku!!! Di sisi ku pula... ada seorang lagi insan yang sangat ku sayangi, yang setia menemani ummi ku walau dalam apa jua keadaan. Dan dialah abi ku!!! Mereka juga umpama harta yang tak ternilai, kurniaan Yang Maha Esa agar aku terus bernafas di dunia ini.
Aku sedar... aku hanya insan kerdil yang dianugerahkan Allah untuk pinjaman ummi dan abi. Ummi dan abi juga pinjaman buat ku berteduh. Hidup ku serba kekurangan... Hidup ku tidak seperti anak-anak normal di luar sana yang sentiasa menghiburkan hati ibu dan ayah mereka dengan telatah yang comel. Yang ku tahu, hidup ku bersama ummi dan abi penuh dengan ujian... Penuh dengan linangan air mata yang tak bertepi. Adakah lahir ku semata-mata untuk mengundang keresahan ummi dan abi? Adakah lahir ku hanya kerana pandai menangis tanpa sebab yang munasabah? Adakah lahir ku untuk menyusahkan hidup ummi dan abi? Tidak!!! Ummi seringkali berbisik dengan ku... "ummi sayang kamu nak!". Cukuplah dengan kalimah tersebut, ianya sudah penuh erti buat ku. Yang penting, aku tahu... ummi dan abi sudah lama redha dengan takdir kami ini.
Tidak ku pinta, lahir ke dunia... Tidak ku duga cacat begini... Bukan ku minta, kasih dan manja... Bukan ku rayu bantu simpati.....
Aku hanya ada ummi dan abi yang memahami setiap inci perilaku ku. Aku hanya ada mereka yang membela nasib ku. Syukur juga... kerana masih ada insan lain yang sudi memberi ruang kepada ku, anak istimewa yang hanya selalu mengundang duka. Pada mereka yang sudi menyayangi diri ini, hanya doa ku pohonkan agar Allah membalas jasa baik kalian. Kalian juga penyuntik semangat pada ummi dan abi untuk terus membesarkan ku. Aku bertuah kerana punyai teman senasib yang seringkali menghiburkan apabila kami bersama. Aku bersyukur punyai mama, papa, ibu, ayah, mummy, daddy, atok, nenek, wan serta sekalian saudara-mara yang menerima kehadiran ku seadanya. Terima kasih semua!
Jika diberi pilihan... pasti aku juga tidak mahu dilahirkan sebegini. Apa lagi ummi dan abi, kasihan mereka... seringkali terpaksa menanggung rasa tatkala membawa ku berjalan-jalan melihat keindahan dunia. Aku tahu, adakala ummi dan abi cuba sedaya mungkin untuk mempertahankan diri ku daripada menjadi umpatan mata-mata yang memandang. Pada ummi, abi... maafkan adik kerana kalian terpaksa menerima kepayahan ini semua. Kalian terpaksa berdepan dengan pelbagai masalah dan kerenah anak mu ini. Terima kasih kerana memahami hati anak mu yang juga mahukan kehidupan senormal orang lain. Terima kasih kerana tidak jemu, malah tidak pernah jeran membawa adik berjalan ke sana sini walaupun ummi, abi sering menerima 'tamparan' yang hebat. Adik juga mahu mengecapi kebahagiaan serta nikmat punyai ummi dan abi yang sangat-sangat menyayangi adik. Alisya bangga menjadi anak kamu!
Lahir ku penuh lengkap dengan pakej kekurangan akal fikiran. Lahir ku diserikan dengan penyakit Cerebral Palsy. Lahir ku disusuli dengan ketidakupayaan diri. Lahir ku diiringi dengan kehampaan. Namun... apakah dosa ku pada mereka yang tidak pernah sekali pun menjaga ku? Apakah dosa ku pada mereka yang tak pernah sekali pun aku menumpang di dalam rahim mereka? Ya, lahir ku dikurniakan dengan kecatatan otak, tapi tidak dengan kecatatan hati dan perasaan. Allah tetap beri ku perasaan yang sama seperti orang lain. Perasaan yang adakala tersentuh, terhibur, terharu seperti yang mereka rasa. Jika mereka berasakan payah dengan kehadiran ku, cukuplah andai aku dipayungi Illahi serta dilindungi ummi dan abi. Aku juga makhluk Tuhan yang mahu merasa segala nikmat dunia sebelum urusan pinjaman ku berakhir.
Maafkan wahai teman... Ku menumpang, di sudut dunia... Mencari ketenangan, sampai masa ku pergi jua



Alisya yang kuat semangat..bertuah ada ummi dan abi yang kuat juga..sayang Alisya sampai bila2...
ReplyDelete:(..xleh tahan air mata ni...MMuah Alisya!!
alhamdulillah alisya da 3 thn..wpon aliysa ank istimewa alisya tetap baby yg comel sbb ummi n abi dia cantik n ensem :D
ReplyDeletehuhu..ummi..sedeynyer...huhu..Alisya tak keseorangan..Nabila akan berpimpinan tangan bersama Alisya..
ReplyDeleteaku nanes ta...................:(
ReplyDeletemakhluk sentiasa menyangka...yang saling membezakan antara makhluk itu adalah ilmu....amal...
ReplyDeletepabila tercicir salah satu nya....kedudukan makhluk itu adalah sia2....hanya akan memudharatkan.....membinasakan...
namun mengapa makhluk yang sama itu sering nya terlupa tentang kedudukan iman....?
yang membezakan antara yang muslim dengan yang bukan....
yang saling membezakan di antara makhluk di sisi-Nya.....bukan kah pada iman dan taqwa....?
apakah mereka fikir.....jalanan hidup ini ditentukan atas ilmu...serta amal mereka itu....sehingga semudah itu untuk menghukum....sesenang itu mereka menafikan ....makhluk lain yang sabar dan redha....atas prinsip percaya dan yakin....Dia Penentu...Pemilik....yang Maha Mengetahui...Maha Menyayangi....
dan Dia tidak akan sesekali memungkiri janji.....
buat mereka itu....jangan bicara tentang perjuangan...jika belum teruji dan diuji....jangan bicara tentang hati....jika hanya ada hasad dengki....
ketentuan Allah adalah rahsia Allah....
wallahu'alam....
Speechless. xsedar ada manik-manik jernih turun.huhuhu..
ReplyDeleteTAK..alisya xpernah keseorangan. Terlalu ramai yang menyayangimu nak. Ramai yang ingin membangun bersamamu. Terus kuat ye sayang.
Buat umi dan abi. Kalian memang superb. Tidak ternilai kasih sayang kalian dalam membesarkan anugerah istimewa itu. Semoga sentiasa di bawah rahmat Ilahi dan dipermudahkan segala jalan buat puteri tersayang.
Hug n kiss untuk alisya. Ibu rindu kat alisya.
sara mama syahdunyer membaca luahan hati ummi seakan luahan hati sara...andainyer sara bijak suatu ari mesti luahan hati kamu sebegitu jua...tidak ...tidak...kamu tidak menyusahkan sesapa kamu dilahirkan untuk menerima kasih sayang untuk semua org...kamu jua adalah seperti anak-anak mama ...dania jua sayang kamu...dan dek delisha bila besar akan mengerti jua untuk menyayangi kakak seperti kamu....semoga tuhan memberi kebijaksanaan kepada kamu walaupun kamu seorang yg istimewa nak...sungguh istimewa bermaksud penuh kelebihan ..jadi kamu tiada kekurangan malah kamu penuh dengan kelebihan....ya allah lindungi lah anak ini....untuk selama-lamanya..amin....
ReplyDelete