Thursday, June 23, 2011

:: Hakikat Kehidupan...

Dalam dunia ini, tanyalah siapa sahaja. Apakah yang mereka mahu? Pasti ada antara jawapan mereka; Mahu kaya, mahu hidup senang, mahu gaji banyak, mahu hidup tanpa masalah, mahu kereta dan rumah mewah, mahu isteri atau suami yang cantik dan hensem, mahu anak-anak yang sihat membesar tanpa sakit, mahu anak-anak yang comel, mahu hidup bahagia sahaja dan segala-galanya mahu yang baik-baik sahaja. Yang tak baik, yang tak best dalam hidup... tak ada siapa pun mahukan! Wallahualam...

Aku pernah mengandung, walaupun baru sekali Allah mengurniakan nikmat tersebut... aku tetap bersyukur. Aku tetap berpeluang merasai nikmat mengandung itu. Susah ke, berat ke, letih ke, sakit kaki ke, susah nak tido ke... seingat aku, semuanya aku tolak tepi. Tak banyak merungut, cuma banyakkan sabar. Abang pun cakap, aku masa mengandung baik aje! Dengar cakap abang, tak marah-marah... cuma bab merajuk makin kuat! (Nikmat mengandung sangat aku rindukan. Dan sangat-sangat aku impikan agar ianya terjadi untuk kali ke-2!)

Sewaktu Alisya di dalam perut, tak pernah sekali aku doa yang tak baik untuk anak ini, tak pernah sekali aku tidak mendoakan kesejahteraan bayi dalam rahim ku, tak pernah sekali aku abaikan kesihatan aku demi anak yang ku kandung itu. Semuanya aku cuba lakukan yang terbaik. Itulah lumrah manusia, sentiasa merancang dan mempraktikkan yang terbaik untuk diri. Cuma, pernah aku tertanya kepada abang; "Kalaulah Allah beri kita anak istimewa... macam mana erk bang?" Ketika itu, aku dan abang tiada jawapan. Terdiam sesama sendiri, sebabnya kami sendiri tak tahu apakah yang bakal berlaku esok hari? Soalan itu hanya berlalu bak angin yang bertiup.


Sakit Alisya, sakit ku jua!
Sungguh... ummi derita melihat kamu dalam kesakitan!


Bila kamu sihat, hati ummi turut 'sihat'!
Kamulah penawar ummi...


Penawar hati abi juga...
Walau apapun yang kamu hadapi,
Alisya tetap kesayangan kami!


Kelahiran Alisya sangat kami nantikan. Anak sulung, siapa yang tak teruja? Takut untuk bersalin itu pasti, namun hati ini hanya berdoa agar segala urusan dipermudahkan Allah. Apa sahaja doa mahupun bacaan ayat-ayat suci tidak lekang dari bibir ini. Kita hanya manusia yang mampu merancang sehabis baik, namun qada' dan qadar Allah tiada siapa yang mampu mengubahnya. Aku mencuba sehabis daya untuk meneran agar bayi ku keluar menjenguk dunia ini dengan selamatnya. Apa sahaja yang aku hajati, apa sahaja yang aku dan abang inginkan... sungguh berlainan sekali dengan apa yang kami terima daripada-Nya.

Anak kami tidak se'indah' yang kami doakan, namun Alisya lah yang paling 'indah' kurniaan Allah buat kami! Sungguh, pada mulanya berat aku rasakan untuk menggalas tugas dan tanggungjawab sebagai seorang ibu terhadap anak istimewa. Tambahan pula, anak sulong. Manalah ada pengalaman yang boleh dijadikan sandaran? Teringat akan kata-kata kakak iparku; Pertama sekali, REDHA lah dengan apa yang berlaku. Terimalah sebaiknya apa sahaja pemberian Allah, kerana kita tak tahu apakah hikmah dan maksud di sebalik semua qada' dan qadar ini. Perancangan Allah itu lebih baik daripada apa yang kita rancang dan minta. Allah Maha Mengetahui.

Alhamdulillah, berkat daripada ketabahan hati, berkat daripada kesabaran yang masih tipis suatu masa dulu... aku dan abang telah lepas melalui satu fasa dalam bab menjaga anak istimewa. Walaupun masih banyak fasa yang harus ditempuh, ilmu masih cetek, pengalaman tidak seluas mana... apa yang kami dapati, kami cuba untuk melalui ujian Allah ini dengan tenang. Walaupun sesekali tewas juga, namun kami cepat bangkit dan mencari semula kekuatan itu demi Alisya! Sedangkan Alisya yang menanggung 'derita' begitu kuat semangatnya untuk menempuh hari-hari mendatang bersama kami, inikan pula kami yang tidak menanggung sebarang sakit? Malulah pada Alisya kalau ummi dan abi tak kuat macam dia. Apa pun yang berlaku dalam hidup, hakikatnya... hidup mesti diteruskan. Selagi ada nyawa yang dipinjamkan Allah, selagi itu aku dan abang berusaha apa sahaja untuk Alisya. Memang kesan usaha itu sangat jauh dan kabur untuk dilihat serta dirasai. Tetapi aku yakin, dengan doa yang ku panjatkan setiap hari, dengan usaha yang berterusan... Insya'Allah, Dia mendengar!


Alisya, yang sangat 'indah' di mata kami...


Habis bab aku dengan ujian ku. Dan aku masih mengharungi dugaan dari-Nya.

..................................................................................................

Setiap manusia pasti melalui liku-liku kehidupan yang berlainan. Panas yang diharapkan hingga ke petang, rupanya ada hujan yang menyinggah di tengahari. Cucu kedua ku, anak kepada anak saudaraku; Along Ju... juga didatangi ujian daripada Allah. Dilahirkan kembar seiras dan sejantina, namun si abang (Nukman) disahkan menghidap penyakit jantung yang mana jantungnya tidak berfungsi dengan baik, ada saluran yang tersumbat. Subhanallah, semoga ada hikmah disebalik semua yang tertulis.


Cucuku dalam kenangan;
Ahmad Nukman Haqimi
& Ahmad Irfan Haqimi.


Along Ju... Mokcu pernah rasa apa yang Along rasa. Mokcu pernah rasa bagaikan 'mati hidup semula'... pernah rasa tertekan yang teramat, pernah rasa hampir nak meroyan, pernah rasa hidup ini bagai tiada makna lagi dan pernah juga rasa malu dan tiada kekuatan langsung untuk menghadapi hari yang mendatang! Rasa sakit ketika mahu bersalin, tidaklah seperit mana jika mahu dibandingkan dengan peritnya untuk menerima kenyataan bahawa anak yang dikandung selama 9 bulan 10 hari itu, punyai masalah kesihatan yang akan berkekalan hingga hujung nyawanya! Sungguh... Mokcu dan Pokcu tidak tahu dengan siapa mahu kami mengadu. Kami tidak pasti apakah yang harus kami lakukan, kami buntu!

Namun, dek kerana keimanan yang masih ada di dalam hati ini... Mokcu dan Pokcu cuba bangkit daripada kesakitan yang mendalam. Nasihat daripada Mak Lang dan Pak Lang, amat terkesan sampai ke hari ini. Masih disematkan di dalam hati;... "Walau apa pun yang berlaku, hidup mesti diteruskan. Anak tu rezeki daripada Allah. Tak semua orang berpeluang merasai ujian Allah, tak semua orang dapat rasa nikmat menjaga anak istimewa. Allah menguji hamba-Nya setakat yang Dia rasa mampu untuk ditanggung oleh seseorang itu. Segala yang berlaku, ada hikmah yang tersembunyi"...

Along, redhalah dengan ketentuan Allah. Tabahlah, bersabarlah! Hari ini, Ahmad Nukman Haqimi telah pergi buat selamanya. Pergi untuk bertemu dengan Penciptanya, pergi untuk mencari ketenangan syurgawi, pergi demi menyahut seruan Illahi dan perginya tak akan kembali lagi! Insya'Allah, arwah Nuqman menunggu ibu, ayah, kakak dan adiknya 'di sana'. Nukman umpama 'saham' Along di akhirat nanti. Arwah kini telah 'sihat' di samping bidadari syurga yang setia menemaninya. Damailah kamu di sana wahai cucunda ku, walaupun hati ini semakin rindu pada kamu, namun... hanya doa serta kalimah Al-Fatihah yang mampu Ummi Chu titipkan buat kamu nak! Jika aku hanya nenek saudaranya yang terlalu merindui arwah, bagaimanakah Along Ju... yakni ibu yang telah mengandung dan melahirkan dia! Subhanallah!!! Semoga Along terus kuat dan tabah! Sesungguhnya, ujian yang Along lalui bersama suami lebih hebat daripada Mokcu dan Mak Lang! Inilah hakikat sebuah kehidupan, mati adalah peneman setia walau di mana sahaja kita berada!


Ahmad Nukman Haqimi;
kini telah berada di syurgawi. Al-Fatihah...



Kali pertama dan terakhir bersama arwah.
Damailah kamu di sana nak...



Rindu Ummi Chu tidak bertepi, apatah lagi ibu mu.
Semoga Along Ju dan Apis tabah dengan ujian Allah!


Anak... adalah anugerah Allah yang tidak ternilai, sihat atau sakit anak itu... itulah hadiah paling 'mewah' buat si ibu dan si ayah! Namun, hidup kita semuanya adalah pinjaman. Suatu hari nanti, mati pasti mendatangi kita. Semoga Allah mendengar doa Along, doa Mokcu dan sekalian mereka yang bernama manusia! Daripada-Nya kita datang, kepada-Nya kita kembali. Allah telah merancang yang lebih baik daripada yang kita pinta! Wallahualam...

7 comments:

  1. wahhh...mama alisya dh new look blognyer...;)) dear..lida adlh silent reader blog awk lalink... im so impress sbb bot of u strong parent!!! lida doakn semoga both of u n alisya too..... bahagia selalu....then dimurahkn rezeki.... thu x lida dh jtuh syg ngn alisya!!! alisya chuuumellllllllllllllllllll sgt2!!! cik da, geram echa....(cik da pgl alisya ngn pggln mnje yew cyg...xoxo) ;D

    ReplyDelete
  2. Takziah..Al-Fatihah untuk pelawat dari syurga Ahmad Nukman Hakimi..semoga Along Ju dan Ita sekeluarga tabah menerima kehilangan ini..daripadaNya kita datang dan kepadaNya kita kembali....

    ReplyDelete
  3. Speechless...

    Semoga along ju dan Apis tabah, sabar dan terus kuat demi anak-anak yang masih ada.Nukman pasti sedang berbahagia dan bergembira di sana bersama bidadari syurga.Dia akan menunggu keluarganya di sana.

    Alfatihah buatmu bidadara syurga - Ahmad Nukman Haqimi

    ReplyDelete
  4. manusia yang istimewa je di kurniakan anak yang istimewa oleh Allah..

    ReplyDelete
  5. terima kasih pada yang mendoakan kesejahteraan roh arwah, insya'Allah... hanya Allah yang mampu membalas jasa kalian.


    pada cik da; masheh sebab selalu jenguk sini. ummi alisya dah bowink dgn style lama...hehe. masheh gak sbb sudi menyayangi cik embun tu...hehe!

    ReplyDelete
  6. semoga roh anak kecil itu dicucuri rahmat amin...buat alisya yg comel..semoga kuat yer sayang...

    ReplyDelete
  7. sejauh mana pun 'langkahan' kaki....meninggal pergi suatu 'kedukaan'...tetap akan 'tersingkap'nya sakit dan perit....menerima suatu hakikat...yang tidak akan dapat diubah...dan tidak jua akan berubah....

    meski pun demikian....dalam meniti hari2 yang mendatang...perjuangan adalah tentang hari 'esok'....yang pasti 'menanti' di suatu destinasi....'pertemuan' bagi tiap makhluk.....pabila tiba ketika dan saat nya nanti....

    kekuatan tidak datang 'hari ini'....hanya kerana berlalu sudah 'semalam'.....namun kekuatan perlu datang untuk 'esok'...yang kini adalah suatu perjuangan.....dalam kembara ke alam abadi...untuk yang tersayang...dan yang menyayangi....

    al-fatihah untuk permata hati Ahmad Nukman Haqimi...

    ketentuan Allah adalah rahsia Allah...

    wallahu'alam...

    ReplyDelete