Wednesday, June 23, 2010

:: Privasi...

Insya'Allah... dalam masa terdekat, aku akan memulakan operasi mem-privatekan itafed.blogspot ini. Sudah tiba masanya... kenapakah? Biarlah ianya menjadi cerita antara aku dan abang. Cerita kami suami isteri...

Oleh itu, dengan rasa rendah diri... ingin ku alu-alukan kalian; para pembaca setia, followers, rakan-taulan, kakak-kakak dan abang-abang ku, serta family superkids agar dapat memberikan emel kalian ke Comment Box nanti. Boleh juga di tinggalkan pada ruangan Soseh-soseh ku itu untuk memudahkan tuan tanah menjemput anda ke sini! Blog ini tidaklah sehebat mana hingga terpaksa di privatekan, akan tetapi aku punyai sebab yang utuh dan abang juga bersetuju! Itu yang penting....

Akan tetapi, sedia maklum... hanya 100 pembaca yang dapat di invite ke blog ini. Andai ada yang tercicir, maafkan tuan empunya tanah! Perancangan untuk membuka secara umum, tidak terlintas lagi di fikiran buat masa ini dan 2-3 bulan akan datang. Hatiku bulat, nekad dengan keputusan... Mudah-mudahan, cintaku untuk terus menulis di alam maya... masih kuat!

Monday, June 21, 2010

:: Lelaki-Lelaki Ini...

Selamat Hari Bapa! Semalam, aku terlupa untuk mengucapkannya pada suamiku yang tercinta. Makanya, hanya kiriman sms sebagai pengganti kerana aku harus berkerja, abang pula di rumah bondanya bersama Alisya.

Dialah yang mengindahkan hari-hariku...
cinta kamu hingga hujungnya!

Ringkas sahaja; inginku merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih yang tidak ternilai buat suamiku... Farid Hanif kerana telah bersama-sama dalam hidup ini dan menjadi abi kepada Alisya! Ayang tahu, hanya abang yang berhak ke atas 'harta-harta' abang di dunia ini. Hanya abang yang layak untuk menjadi abi kepada anak-anak kita! Semoga kasih kita berkekalan hingga ke syurga...

Abang... bersabarlah dalam menjaga amanah dari abah (yakni isterimu) dan Allah ini (zuriat kita). Sehebat mana pun tamparan yang kita terima, sejauh mana pun kita diuji... kita tetap ada Dia yang Maha Mengasihi. Sejujurnya, ayang dan Alisya tak akan 'berseri' tanpa abi di sisi! Terima kasih kerana menyayangi kami... puteri-puteri kamu yang sungguh banyak kerenah!!!

Mahu juga berterima kasih kepada ayahanda ku, kerana telah membesarkan anaknya ini sehingga menjadi sebesar mak orang! Walaupun adik tidak pernah dengar abah ucap 'abah sayang anak-anak abah'... tapi adik tahu, tiada bapa yang tidak menyayangi anak-anaknya. Terbukti ketika adik menyambut hari raya pertama sejurus bergelar isteri... mak cakap, abah seakan terasa 'kosong' pagi raya tuh. Huh... adik je yang tak ada, haruslah raya tahun tu tidak 'selengkap' mana.

Lelaki ini tetap bertahta di sanubariku... i luv u dad!

Sejak abah 'menyerahkan' adik pada suami, adik dah tak merasa gosok baju melayu abah untuk ke masjid, adik dah tak merasa buat air teh untuk abah petang-petang (kalau mak gi jalan)... adik dah tak merasa buat teh o ais untuk abah kalau abah berkebun! Yang paling tak akan adik lupa, kalau ade boyfren telepon rumah, jangan harap dapat cakap! Lebih sadis, dah la tak dapat cakap dengan boyfren... kene ketuk pulak dengan ganggang talipon tu! (aku tak pernah kene, tapi kakak-kakak ku merasa! sakit woooo!!! hahaaa)

Itulah abah ku, Tuan Haji Zakaria bin Baba. Watak dan mukanya agak penuh emosi, agak serius orangnya... maklumlah, bekas sarjan! Dalam mendidik anak-anaknya, jangan katakan pukul... jentik pun abah tak pernah buat! Alhamdulillah, disebabkan prinsip dan disiplin yang tinggi... anak-anak abah semuanya menjadi 'orang'! Terima kasih Pak A'id!!! Adik sayang abah!!!

Wednesday, June 09, 2010

:: Kamok-kamok...

"Alisya... tidurlah nak. Ummi batok nih, esok ummi nak keje... Abang, tolonglah amek adik nih pulak"... Alisya masih menangis dan terus menangis! "Alisya, apsal nih?? Asek melalak je... nak ape tengah-tengah malam nihhh??" Kedengarannya nada abi agak keras! Tak sampai hati rasanya nak biarkan anak kecil itu tidak dilayan, aku ambil semula. Adakala aku biarkan juga dengan abinya, kerana aku kebatukan yang melampau! Sampai tahap mahu terkeluar kerongkong nih rasanya. Inilah yang berlaku sehingga ke malam semalam semenjak 2 yang minggu lalu. Aduh, lama dah anak ini tidak mengamok sakan... entah kenapa, tiada kepastian!

Siang harinya, di rumah ibu daycare... tidak pula dia meragam sehebat malam hari. Kenapa jerr? Sakit perutkah? Nak berak tak lepaskah? Nak susu, sudah diberi. Air suam juga diberi... akhirnya mahu dipujuk, dibelai... berborak sehabis lembut nada ini, barulah lena tidurnya! Itu pun, tidurnya bukan di buai atau di tilam... tapi, nah!!! Hambek kau... mulanya diriba sudahnya bila bangun pagi... kenapalah kaki ku kebas semacam? Ohh... anak kecil ini sedang lena di celah bedah ummi rupanya! Haihh... ikut ajerlah nak oiii, asalkan sayang ummi tidur! Tapi, aku masih pelik... ape pasal Alisya menangis di malam hari? Lama dah tabiat sebegini tidak berulang kembali.

Hanya membuat kesimpulan sendiri, mungkin Alisya kepanasan. Atau mungkin kepenatan. Atau juga tidak selesa dengan pampersnya. Wallahualam. Pintaku, biarlah anak ini dapat tidur lena dan tiada gangguan sampingan. Kerana tatkala Alisya mulai penat, akan terjadilah 'nawas' nya yang sangat-sangat aku geruni itu! Sungguh, aku masih mampu menghadap akan kerenah Alisya di malam hari, tetapi aku tak sanggup melihat 'nawas' nya itu datang mengganggu anakku! Ya Allah, di manakah kekurangan dan kelemahanku? Kau berilah kekuatan dan teguhkanlah imanku untuk mengharungi onak duri dalam membesarkan Alisya Qaireen!

Malam tadi, syukur sangat-sangat sebab Alisya dapat tidur lena! Sehinggakan tergolek dari tilam pun... dia masih lena. Pagi ni, muka anakku sungguh manis. Rasa sayang mahu tinggalkan dia untuk bekerja. Apakan daya? Ummi dan abi masih kekurangan wang ringgit dalam membesarkan kamu, Alisya! Ummi masih perlu membantu abi untuk melunaskan segala hutang dalam hidup ini. Berdoalah semoga ada rezeki abi agar ummi dapat berhenti kerja, seterusnya membesarkan sendiri anak ummi yang sangat ummi sayang ini! Inilah impian ummi, mahu menjadi surirumah agar anak ummi sentiasa di sisi.

Sepayah mana pun mencari rezeki,
ummi tetap mengutamakan kesihatan anak ummi.
Ummi tahu Alisya tak suka, sabarlah wahai anakku...
maafkan ummi!

Sunday, June 06, 2010

:: Syurga Menanti Mu...

Entry khas, buat anakanda Alanna Qish. Malam tadi, kira-kira jam 11 lebih... abang mendapat panggilan dari Syarul (daddy Alanna). "Alanna dah takde..." Pilunya hati, tergamam seketika! Bukan menolak suratan Yang Maha Esa, tetapi kami baru sahaja pulang dari melawatnya sebelum Alanna menghembuskan nafas yang terakhir. Tiada tanda yang menunjukkan itulah pertemuan kami yang terakhir kali, sebelum anak kecil itu pergi buat selama-lamanya.

Alanna, semangat mu tinggi! Perjuangan mu di muka bumi ini telah berakhir. Allah lebih menyayangi mu nak! Ternyata, kamu adalah 'pinjaman' Allah yang tiada tandingannya! Pasti ummi dan yang lain-lain akan merindui kamu! Pergilah sayang, pergilah dengan tenang... nantikan mumyy, daddy, abang Nadim mu 'di sana'! Syurga menanti kamu; Alanna Qish binti Syarulniza!

Al-Fatihah...

Friday, June 04, 2010

:: Zuriat...

Sejak kebelakangan nih... perbualan aku dan abang banyak berkisarkan tentang hidup, rumahtangga, Alisya dan bakal 'adiknya'. Hmmm... kalau diikutkan susunan pertuturan kata, aku yang lebih banyak mengutarakan akan hal 'adik' Alisya berbanding abang. Akan tetapi, lately nih... abang lebih banyak bertanya akan perihal zuriat ini. Adakah abang sudah bersedia punyai anak 2?

Baru semalam abang bertanya; "Cayang, kalau tahun depan kita tambah adik, cayang nak? Dah ready?".... Dengan pantas aku menjawab; "Abang, kalau tanya ayang, sekarang pun dah ready. Tak payah tunggu tahun depan!" Hahaaaaa... rakusnya aku untuk menjadi ummi kepada zuriat-zuriat abang nih! Gopohkah namanya andai hati ku sering kali membuak-buak untuk menambah anak dalam keluarga nih? Adakah aku cukup bersedia?

Secara zahir, aku bersedia untuk memikul tanggungjawab yang lebih besar dari yang sedia kala. Secara batin pula, aku hanya berserah pada Allah, andai Dia mahu aku menjadi ummi kepada Alisya seorang, aku redha! Andai Dia mahu aku menjadi ummi kepada lebih 3 orang anak-anak abang... pun aku terima dan redha! Abang pernah bercakap; "Entah-entah, ujian kita yang sebenar nanti... bila diberi anak yang sempurna, sihat, normal, tak ada masalah. Mana tahu, membesarkan anak yang sebegitu lebih banyak menguji kesabaran kita daripada membesarkan Alisya"... Wallahualam! Aku harus kuatkan semangat, jiwa, hati nurani untuk menjadi ummi yang lebih baik dari hari ini.

Keluargaku, nyawaku. Adakah bertiga lebih baik?
Atau berempat? Lima?... Kekurangan dalam kelebihan!!!


Bohong andai aku tak punya rasa rindu untuk mengandung lagi. Tipu andai aku tak cemburu pada rakan-rakan yang punyai anak lebih dari 1. Aku juga mahu rumah ku disulami dengan gelak-tawa anak-anak yang ramai, hingar-bingar disebabkan tangisan anak-anak yang memecahkan suasana dan rumah yang berkepau dek kerana mainan dan telatah anak-anak yang mengusik jiwa! Doakanlah agar ada sinar, ada rezeki kami suami isteri punyai zuriat lagik. Doakanlah agar anakku Alisya punyai adik yang boleh 'menjaganya' apabila mata ini pejam untuk selamanya... dan doakanlah semoga Alisya juga mampu menjadi contoh kepada adik-adiknya nanti! Akhir sekali, doakanlah moga 'semangatku' semakin kuat untuk menempuh proses bersalin kelak! Sesekali, kenangan lalu sering menjadi igauan ngeri yang boleh mematahkan semangat seorang wanita bergelar ibu!

Untuk suamiku; Kun Faya-Kun... apa yang dah tertulis semenjak azali, akan tetap terjadi! Kita hanya mampu merancang untuk yang lebih baik, hanya Allah yang berhak menentukan semuanya! Rezeki datang dari-Nya, sentiasalah mohon agar dikurniakan kepada kita rezeki yang baik dan melimpah-ruah! Amin Yarabbal A'lamin...

Dialah abi Alisya dan 'adik-adiknya' kelak.