Keterujaan menunggu April. Kenapa ye? Kerana di bulan ini dan di hari inilah, anakku meningkat usianya. Anakku bertambah besar dan doaku moga Sarra bertambah perkembangannya kelak. Anakku menginjak ke usia 2 tahun! Yay... Sarra dah besar!!! Hepi birthday sayang!!!
Banyak yang 'tersimpan' di naluri keibuanku ini. Walaupun aku masih mampu mengukir senyuman, adakala hati kecil si ibu 'menangis' jua. Namun, tidaklah bererti aku mahu menoleh ke belakang, menyalahkan diri, mempersoalkan nasib dan menyerah kalah! Tidak, bukan itu yang aku renungkan. Hari-hari yang mendatang terasa banyak yang baik daripada yang sebaliknya. Umpamanya, dengan kelahiran Sarra... aku dan abang berpeluang mengenali keluarga baru kami. Superkids Family's! Bak kata abi Sarra dan kakak ku; 'Andai Sarra tak 'begini'... mungkin kita tak jumpa kawan-kawan yang best macam nih!'... Benar bukan? Setiap yang sudah ditentukan Allah, punyai maksud dan makna yang telah direncanakan!
Bila datangnya 13 April, adakala aku 'terusik' dengan memori 'semalam'. Bila melihat anak-anak sepupu, saudara-mara mahupun rakan taulan yang sebaya Sarra, tak dinafikan... ada sedikit rasa hiba dan kacau menyelubungi jiwa ini. Lebih-lebih lagi bila melihat anak-anak mereka 'tiada yang kurang'. Namun, aku cuba untuk tepis jauh 'perasaan' itu, tak mahu fikiran ini terus kusut dan terganggu tatkala anakku sedang 'berkembang' maju. Anak ummi pun tak ada yang kuranglah... makin hari makin banyak yang dia nak suruh ummi dan abinya 'faham'! (Eh... Sarra dah makin nak gelak tau! Cuma, perasaan marahnya masih di ranking teratas!) Walaupun gelak Sarra tuh belum ke tahap mengekek, tapi bila aku nyanyikan lagu 'air pasang malam, surut pukul lima, nyonya bangun pagi siram pokok bunga...' Sarra pasti berubah wajah. Walaupun senyuman dia tidak sampai ke telinga, namun aku tahu Sarra memang suka dengan lagu tu! Clever girl! Alhamdulillah...
Hmmm.... masih aku ingat pesanan seorang kakak di rumah Kak Raw tempoh hari; 'Jangan putus asa dik, jangan skip berubat nih... kene kuat tau, untuk suami!!!' Fuhh...tang ayat untuk suami tuh, aku rasa nak nanes. Bila hari lahir Sarra tiba, mulalah aku teringat akan 'kesungguhan' abang pada masa lalu. 3 minggu sebelum aku bersalinkan Sarra, aku berada di kampung. Abang pula di KL seorang diri. Alasanku, mahu rehat... dah tak larat nak mendaki tangga rumah. Abang ikut je... sudahnya, hari-hari bila mendengar suara abang di corong telefon, aku bantaikan melalak! Melalak sebab rindukan abang! Memang 'ngok' betul aku masa tuh. Andai ada rezeki anak kami yang ke-2 nanti, aku mahu di samping abang hingga anak itu lahir! Maafkan ayang ye abang. Lagi yang buat aku teringat akan kesungguhan insan bernama bapa; bila abang kucup dahi ini sejurus aku keluar dari wad bersalin! Masa tuh memang aku mamai-mamai lagi, tapi keterujaan abang dapat melihat dan meng-qamatkan anak sendiri... buat aku bersemangat dan bertambah bersyukur! Aku sangat-sangat bertuah punyai suami seperti abang. Bagiku, dialah abi yang terbaik! Walaupun aku tidak dapat 'memberikannya' anak yang seperti orang lain beri, namun... abang cukup-cukup bersyukur dengan lahirnya Alisya Qaireen! Terima kasih suamiku. Ummi dan Alisya tak akan berhenti menyayangi kamu; Mohd Farid!
Hari ini, Alisya Qaireen berusia 2 tahun! Memang nampak anak dara ummi tuh dah besar! Bila duduk dalam kereta dengan ummi, memang dah tak muat kerusi depan tu untuk kami berdua! (bilalah abi nak beli 'kerusi' besar sikit? hehe...) Hari demi hari, Sarra makin pandai nak bermanja. Tidurnya tidak mahu keseorangan, mahu di celah ummi dan abi! Setiap hari ummi tak jemu untuk berborak dengan kamu nak! Walaupun belum ade sepatah ayat yang anak ummi balas, ummi tetap tak jemu untuk bercakap, bercakap dan terus bercakap dengan Sarra. Ummi sabar menunggu detik-detik kita berborak sama! Ummi yakin dengan 'kesungguhan' anak ummi untuk 'menghiburkan' hati ummi ini, walaupun sesaat cuma.
Anakku Alisya, hadirmu memberikan seribu erti, sejuta makna buat ummi dan abi untuk menempuhi liku-liku kehidupan sebagai 'ummi dan abi' yang terbaik buat kamu, sebagai hambaNya yang sedang diuji! Lahirmu di sisi kami amat bermakna, walaupun kamu tidak seperti anak-anak yang lain, walaupun kamu umpama 'pelangi petang'... ummi tetap bersyukur nak. Syukur dengan anugerah Allah yang hebat ini! Penat ummi seharian berbayar apabila mengucupmu! Jiwa ummi adakalanya kacau, menjadi sejuk kembali apabila memeluk kamu! Alisyalah permata bernilai buat ummi dan abi! Ummi sayang Alisya!!!
** Alisya, abi... maafkan ummi! Maafkan ummi... maafkan ummi!!!!










