Ku tempuhi lorong yang berliku
Mencari sinar yang menerangi
Kegelapanku...
Ku percaya pasti suatu masa
Sang suria kan menyinar jua
Membawa harapan yang menggunung
Bersamanya...
Engkau tiba bagaikan pelangi
Tak bercahaya namun kau berseri
Tapi cukup menghiburkan
Hati ini...
Seharian waktu bersamamu
Tak terasa saat yang berlalu
Bagai pelangi petang kau kan pasti
Pergi jua...
Bait-bait lagu ini, terlalu mendalam buatku... bukan ku pinta semua ini. Lebih-lebih lagi untuk suamiku, anakku dan kehidupan ini. Anakku... maafkan ummi atas semua yang kamu lalui hari ini.
Dia anakku... kenapa harus dia dikasari, padahal bukan pintanya untuk jadi begini. Kenapa harus dia disakiti, padahal bukan ini yang dimahunya. Kenapa anakku harus melalui semua ini, padahal tak pernah sekali aku mendoakan semua ini. Kenapa harus anakku menjadi punca segala hal, padahal tidak sesekali dia membebankan. Kenapa harus dia merasa seksa, padahal anakku tidak pinta dilahirkan sebegini. Dia hanya anak kecil yang harus dibelai, dimanja, dikasihi. Dia juga mahu merasai nikmat hidup di muka bumi ini. Dia anakku!!!
Anak ini menyinari hidupku,memberikan aku kebahagiaan yang ku cari,
walaupun dia hanya 'pinjaman' untukku
Ya Allah, andai hamba-Mu ini tersasar jauh, tunjukkanlah aku jalan yang benar. Tunjukkanlah aku jalan yang Engkau redhai. Redha... ungkapan yang senang difahami, tetapi terlalu perit untuk ditelan. Tidak pernah sekali pun aku menolak dugaan dan takdir Illahi. Tidak sesekali aku ingin menjadi hamba yang kufur lagi lemah imannya. Tidak pernah aku kesali atas apa yang terjadi, apatah lagi mahu mempertikaikannya. Tidak! Bukan ini jalan yang harus aku tujui, bukan ini jalan yang harus aku pilih!
Kata seorang teman kepada ku: Kau kene kuat Ta, harus tabah, persetankan apa orang nak cakap. Orang tak kene, tak tahu macam mana rasanya! Lantaklah orang nak salahkan kau ke, nak cakap kau tak pandai beranak ke. Nih semua dah ditetapkan, kita dah cuba yang terbaik... nak buat macam mana?
Kata seorang kakak: Akak faham perasaan kau dik, akak faham sangat-sangat! Lebih-lebih lagi, kau baru nak bina keluarga. Tiba-tiba Allah beri ujian dapat anak pertama macam nih. Akak faham naluri kau dan Farid nak jadik mak ayah untuk pertama kali ni. Mesti hati tuh teringin nak anak yang sempurna. Tak pelah dik... ada sinar, ada hikmah yang menanti kau dan keluarga esok hari. Tak apa kalau Allah beri anak macam tuh kat dunia, kat akhirat esok... anak inilah yang membantu kau dan Farid!
Kata seorang ibu mertua: Mak faham sangat-sangat perasan Ita dan Ayed. Ye... mak tau macam mana rasa diduga sebegini rupa. Tak salah kalau nak hiburkan hati tu, sebab memang perlu untuk membina semula semangat kita. Mak tau macam mana kusutnya fikiran Ayed dan Ita. Sabar banyak-banyak. Kita tak tahu apa yang Allah rencanakan dan janjikan untuk kita di masa depan nanti. Kita tak tahu ape perjanjian Cica dengan Allah hingga Cica sanggup nak tempuh semua nih kat dunia. Sabar ye Ta... jaga anak baik-baik tau. Amanah Allah tuh.....
Sesekali terngiang-ngiang kat corong telinga nih akan kata-kata ini. Untuk membina semangat, untuk mengubat hati yang duka-lara, untuk merawat kesakitan yang menusuk jiwa! Hari ini aku 'jatuh' lagi... jatuh yang benar-benar menyakitkan! Aku mahu bangun, tidak mahu kalah... semuanya kerana anakku. Jatuh dan bangun... sampai bilakah? Aku tak pasti... lama dah aku tak merasa 'kesakitan' sebegini. Apa pun yang aku lalui hari demi hari, jauh di lubuk hati... aku teramat bersyukur kerana Allah memberi aku peluang untuk merasai nikmat menjadi ibu kepada anakku. Allah beri aku peluang untuk merasai ada janin yang pernah bergerak di rahimku. Aku bersyukur kerana Allah beri aku nikmat merasai dan membelai rambut, kulit, tubuh anak kecil dari benih suami sendiri! Alhamdulillah... aku bersyukur yang teramat. Nauzubillah... tidak pernah aku menyesali akan kehidupan hari ini!















