Wednesday, February 23, 2011

:: Jurnal Kehidupan Insan Istimewa...

Alhamdulillah, aku masih berpeluang bernafas di bumi Allah. Masih dipinjamkan oleh-Nya untuk menemani dan menghiburkan hati ummi dan abi. Tiga tahun adalah satu jangka masa yang singkat bagi seorang anak yang normal, namun adalah satu perjalanan yang panjang bagi ku, seorang anak istimewa.

Lahir ku di dunia yang fana ini, banyak memberi keinsafan dan pengajaran kepada ramai orang. Ummi dan abi adalah insan yang sangat terkesan dan bertuah dengan kehadiran ku. Haruslah... kerana aku anak mereka. Anak yang serba kekurangan, anak yang ditakdirkan untuk hidup dalam seribu kepayahan. Namun, hati ini bersyukur kerana Allah meletakkan ku di bawah jagaan seorang ibu yang sangat tabah. Aku bersyukur lagi kerana diberi peluang untuk berlindung di bawah kasih sayang seorang ayah yang tiada penghujungnya. Meskipun diri ini tidak dapat memberikan kepuasan kepada mereka... tapi aku bangga punyai ummi dan abi yang teramat menyayangi ku. Cukup andai 'kebanggaan' itu ku rasai seorang diri.

Muka kekwat lagi eksen kerana menjadi anak Ita dan Farid.

Masih ku ingat, ketika aku di dalam rahim seorang wanita, seringkali wanita itu berbisik dengan ku. Seringkali aku mendengar kata-kata rindunya untuk melihat ku menerusi alat scan di klinik. Belaiannya menerusi dinding perut, membuatkan hati ini tertanya; Bagaimanakah rupa wanita yang mengendong ku ke hulu ke hilir ini? Siapakah dia? Apakah yang akan dia lakukan pada ku tatkala aku sudah keluar dari rahimnya kelak? Mampukah dia menjaga ku sebaik, sebagus dia menjaga ku ketika aku di dalam lingkungan air ketuban ini? Baikkah dia? Dengan siapakah lagi aku akan ditemani? Mahukah dia sentiasa bersama ku dalam senang atau pun susah? Apakah yang harus ku panggil wanita ini? Dapatkah dia menerima ku seadanya?

Takdir untuk ku menemui insan istimewa ini sudah ditentukan Allah. Alhamdulillah, aku dapat juga menatap wajah wanita ini walaupun kelahiran ku penuh dengan keperitan dan kesulitan. Itu bukan pinta ku, bukan juga pinta wanita ini. Segalanya telah tersurat. Aku sudah berjanji dengan-Nya, walau dalam senang atau susah... aku tetap mahu berada bersama wanita yang mengandungkan ku selama 9 bulan 10 hari ini. Aku tetap mahu di bawah jagaan dia. Wanita yang sangat ku sayangi dan kasihi itu adalah ummi ku!!! Di sisi ku pula... ada seorang lagi insan yang sangat ku sayangi, yang setia menemani ummi ku walau dalam apa jua keadaan. Dan dialah abi ku!!! Mereka juga umpama harta yang tak ternilai, kurniaan Yang Maha Esa agar aku terus bernafas di dunia ini.

Inilah abi ku. Bakal seorang bonzer dangdut!
Ada brannn ke nak usik dia???


Aku sedar... aku hanya insan kerdil yang dianugerahkan Allah untuk pinjaman ummi dan abi. Ummi dan abi juga pinjaman buat ku berteduh. Hidup ku serba kekurangan... Hidup ku tidak seperti anak-anak normal di luar sana yang sentiasa menghiburkan hati ibu dan ayah mereka dengan telatah yang comel. Yang ku tahu, hidup ku bersama ummi dan abi penuh dengan ujian... Penuh dengan linangan air mata yang tak bertepi. Adakah lahir ku semata-mata untuk mengundang keresahan ummi dan abi? Adakah lahir ku hanya kerana pandai menangis tanpa sebab yang munasabah? Adakah lahir ku untuk menyusahkan hidup ummi dan abi? Tidak!!! Ummi seringkali berbisik dengan ku... "ummi sayang kamu nak!". Cukuplah dengan kalimah tersebut, ianya sudah penuh erti buat ku. Yang penting, aku tahu... ummi dan abi sudah lama redha dengan takdir kami ini.

...♪♫ ..... Tidak ku pinta, lahir ke dunia... Tidak ku duga cacat begini... Bukan ku minta, kasih dan manja... Bukan ku rayu bantu simpati..... ♪♫...

Ummi, sungguhpun ummi selalu cakap
muka ummi macam jalan tar, Alisya tetap sayang ummi!


Aku hanya ada ummi dan abi yang memahami setiap inci perilaku ku. Aku hanya ada mereka yang membela nasib ku. Syukur juga... kerana masih ada insan lain yang sudi memberi ruang kepada ku, anak istimewa yang hanya selalu mengundang duka. Pada mereka yang sudi menyayangi diri ini, hanya doa ku pohonkan agar Allah membalas jasa baik kalian. Kalian juga penyuntik semangat pada ummi dan abi untuk terus membesarkan ku. Aku bertuah kerana punyai teman senasib yang seringkali menghiburkan apabila kami bersama. Aku bersyukur punyai mama, papa, ibu, ayah, mummy, daddy, atok, nenek, wan serta sekalian saudara-mara yang menerima kehadiran ku seadanya. Terima kasih semua!

Jika diberi pilihan... pasti aku juga tidak mahu dilahirkan sebegini. Apa lagi ummi dan abi, kasihan mereka... seringkali terpaksa menanggung rasa tatkala membawa ku berjalan-jalan melihat keindahan dunia. Aku tahu, adakala ummi dan abi cuba sedaya mungkin untuk mempertahankan diri ku daripada menjadi umpatan mata-mata yang memandang. Pada ummi, abi... maafkan adik kerana kalian terpaksa menerima kepayahan ini semua. Kalian terpaksa berdepan dengan pelbagai masalah dan kerenah anak mu ini. Terima kasih kerana memahami hati anak mu yang juga mahukan kehidupan senormal orang lain. Terima kasih kerana tidak jemu, malah tidak pernah jeran membawa adik berjalan ke sana sini walaupun ummi, abi sering menerima 'tamparan' yang hebat. Adik juga mahu mengecapi kebahagiaan serta nikmat punyai ummi dan abi yang sangat-sangat menyayangi adik. Alisya bangga menjadi anak kamu!

Lahir ku penuh lengkap dengan pakej kekurangan akal fikiran. Lahir ku diserikan dengan penyakit Cerebral Palsy. Lahir ku disusuli dengan ketidakupayaan diri. Lahir ku diiringi dengan kehampaan. Namun... apakah dosa ku pada mereka yang tidak pernah sekali pun menjaga ku? Apakah dosa ku pada mereka yang tak pernah sekali pun aku menumpang di dalam rahim mereka? Ya, lahir ku dikurniakan dengan kecatatan otak, tapi tidak dengan kecatatan hati dan perasaan. Allah tetap beri ku perasaan yang sama seperti orang lain. Perasaan yang adakala tersentuh, terhibur, terharu seperti yang mereka rasa. Jika mereka berasakan payah dengan kehadiran ku, cukuplah andai aku dipayungi Illahi serta dilindungi ummi dan abi. Aku juga makhluk Tuhan yang mahu merasa segala nikmat dunia sebelum urusan pinjaman ku berakhir.

...♪♫ ..... Maafkan wahai teman... Ku menumpang, di sudut dunia... Mencari ketenangan, sampai masa ku pergi jua..... ♪♫...

Tuesday, February 08, 2011

:: Alisya, Cica, Sarra & Dedek...

Sekadar mencoret cerita Alisya, seminggu di kampung halaman.

Alisya sebagai Cica; Panggilan untuk anak ini ketika di Seremban. Kelakuannya baik-baik sahaja. Dari Ahad hingga Khamis kami melepet-lepet di rumah Wan Ton. Abi bercuti sakan, ummi harus bekerja. Cica? Sangatlah seronok ketika berada di Seremban. Sebabnya, setiap saat, setiap minit anak ini ditemani oleh Wan nya, sama-sama tidur duduk, sama-sama menyanyi. Wan Cica cakap, Cica 'menyahut' nyanyian Wan. Kedengaran ada bunyi-bunyian keluar dari mulut anak ini apabila Wan kusyuk menyanyi. Walaupun sangat halus bunyinya, itu satu lagi perkembangan Cica! Senyuman pula, sedikit pun Cica tak simpan, tak lokek. Hampir setiap masa dia mahu tersenyum sahaja!

Alisya sebagai Sarra; Cerita di kampung Melaka pula. Dari Khamis hingga Ahad. Waaahhh!!! Dah namanya orang Melaka, memang gebaulah jadinya! Kat Melaka, (ummi dah tukau bahasa daaa..) anakku dipanggil Sarra. Kejapan dah bertukau nama! Tak kisahlah, asalkan anak ini tahu itu adalah dia. Sana sini kedengaran nama Sarra disebut-sebut. Memang suka lah anak ummi ni. Lebih-lebih lagi ada Kak Aleeya yang sukarela menjadi 'tukang jaga' dak Sarra ni... lagi lah dak Sarra ni menggeletis. Sebab dia tahu dia tidak keseorangan. Andai di Melaka ada cawangan ofis ku, dah lama aku menetap di kampung sahaja. Bukan kerana belanjawan yang murah, tapi memikirkan Sarra ada teman sepanjang masa. Ternyata, anak ini memang gemar dengan keadaan yang hingar-bingar. Asyik tersenyum sendirian tatkala berada di rumah Nek Cha nya. Pendek cerita, ummi dan abi tidak perlu risau akan mood anak ini, sebab confirm 'mesra rakyat'!.... Hahahaa!!!

Alisya sebagai Dedek; Mana lagi kalau bukan di Ibu Daycare. Hari ini anak ummi kembali ke rutin harian, duduk di rumah ibu... petang nanti ummi jemput kembali. Entah macam mana agaknya anak ummi hari ini. Meragamkah? Masih tersenyumkah? Merengek mengada-ngadakah? Wallahualam...

Yang pastinya, aku dan abang dapati Alisya semakin kerap mengeluarkan bunyi. Walaupun bunyinya adakala kedengaran halus sangat... akan tetapi kami tahu Alisya masih mencuba untuk berinteraksi dengan kami. Senyuman Alisya pula, makin senang untuk kami tatapi. Anak ini sudah murah dengan senyuman. Sangat membahagiakan. Hanya menunggu Alisya terkekek-kekek, mengilai tawa bersama dan berbalas cakap dengan ummi dan abi. Oh anak ummi, akan ummi tunggu detik itu... walaupun 1000 tahun lagi!!!

** Berat badan Alisya nampaknya semakin naik. Semakin berisi. Alhamdulillah, harapnya semakin menembam anak ummi ni. (takut nak cakap lebih-lebih, sebab memang pantang untuk ditegur!)

Wednesday, February 02, 2011

:: Sudah 3 Bulan Rupanya...

Apakah? Adakah? Ohhh... bukan berkaitan tambahan ahli keluarga, tetapi perihal lain. Andai aku mengadakan contest perihal tajuk ini, pasti ramai menjawab berkisar 'adik' Alisya. Hehee...

Bukannya berkenaan 'adik' Alisya, akan tetapi berkenaan pemanduan ku di Kolumpo ni sudah melepasi 3 bulan rupanya. Sungguh cepat masa berlalu. Baru sahaja rasanya aku berkongsi cerita pengalaman ngeri ku men-driving semula ke ofis November lalu, lani sudah 3 purnama kebolehan drift ku itu. Ahahaaa... drift ke Cik Ita oi? Boleh lah tu, kot tak... tak kan sampai nak terberak rasanya bila kene naik tingkat 20!!!

Aku sendiri tak tahu mana datangnya kekuatan untuk semua ini. Dari hanya memandu sejauh 2 kilometer, yakni dari ofis abang ke ofis ku... kini sudah menjangkaui puluhan kilometer. Paling jauh dari Behrang ke Sg Buloh! Dari hanya tahu bermain dengan gear 1-4, kini sudah teror mencuba hingga ke tahap gear 5! Dari hanya tahu 1 jalan untuk ke ofis dan pulang ke rumah melalui jalan yang sama, kini sudah berani meredah jalan yang lain pula! Semuanya kerana nekad!!!

Alhamdulillah, walaupun banyak sekali insiden-insiden cemas yang sememangnya menggelorakan perut ku ini, namun ku tabahkan jua demi tidak mahu menyusahkan abang dan diri sendiri! Kereta bermasalah? Jangan cakaplah... ada sahaja yang tak kena dengan NBD kami. Sehingga satu masa kami terpaksa menukar NBD ke NAE pula! Dah nasib badan kot, cuma bersyukur sebab segala kesulitan yang dilalui bersama NBD tidak melibatkan kesusahan yang melampau, mahupun dalam keadaan lebih memeritkan. Itulah namanya kalau nak hidup di kota Kolumpo ni. Bukan di Kolumpo sahaja, di mana-mana pun sama. Segala onak-duri yang dilalui sememangnya mematangkan diri dan fikiran. Hanya tawakaltulillah yang perlu diutamakan! Wallahualam!!!

Saturday, January 29, 2011

:: Ahh-haaaii Cek Mek Molek...

-Entry terbengkalai....

Peristiwa yang sudah berlalu hampir seminggu. Ketika aku dan Alisya sedang leka berbual sesama sendiri, sambil menunggu setia Cek Abang Sayang berjumpa dengan clientnya di meja yang berlainan, aku ditegur sapa oleh seorang pakcik, lingkungan umur lewat 60-an. Tampak masih tegap dan gayanya juga sedang menunggu seseorang.

Kejadian berlaku di food court The Gardens. (Dah macam nak melaporkan berita pula!) Cerita ini ku coretkan adalah semata-mata kerana menghargai keprihatinan insan di luar sana yang sama-sama mahu berkongsi rasa dengan aku. (Masih ada yang sayang!!!)

Pakcik: Anak tuh nak tidur ke?

Ummi: Eh..taklah cik. (sambil senyum)

Pakcik: Ohh... nampak macam mengantok. Berapa bulan tuh?

Ummi: Hmm... nak masuk 3 tahun cik...

Pakcik: Ohh... eh, kecik je.

Ummi: Ha'ah...istimewa cik.

Pakcik: Allahuakhbar!!! Maaf ye nak, pakcik tak tahu... (pakcik tu bingkas bangun dan menuju ke meja kami...) Maaflah, tulah pakngah tengok tadi, lain macam sikit anaknya ni. Pakngah minta maaf lah ye nak... memang pakngah nak tanya tadi, takut anak ni kecik hati. Pakngah faham, sebab pakngah juga ada anak istimewa! Alhamdulillah, dah 40 tahun umurnya!!!

Seraya pakcik itu membahasakan dirinya pakngah. Aku terkedu seketika! Memang hebat kuasa Allah, sejauh mana Dia mahu hamba-Nya hidup, selama itulah yang akan terjadi walau dalam keadaan apa sekalipun!

Ummi: Ohh..yeke, Alhamdulillah...panjang umurnya ye cik.

Pakcik: Ha'ah nak, dah Allah nak beri... kita terima ajelah. Kene sabar banyak-banyak. Inilah 'ibu rezeki' kita nak. Allah beri kita anak macam ni, Dia bagi ujian kat kita. Kene redha, Allah beri ibu rezeki ni. Anak-anak yang lain rezeki juga, tapi yang inilah ibu rezeki kita nak! Ini pesan pakngah, jangan sesekali kau marah-marah dengan anak macam ni, sabar sentiasa. Jangan di tinggal-tinggalkan anak ini. Bawak gi jalan, belikan dia baju baru sebulan sekali. Sebab duit yang kita dapat, itu rezeki dia! Cantik-cantikkan dia. Dia pun macam kita jugak. Nak baju cantik, nak pegi jalan. Allah....... cantik anak kau ni nak. Putih, haaaaalus kulitnya, rambut tokcang... ada bunga. Ahhaaai... cek mek molek!

Sempat menyanyi pula pakcik tu. Sungguh hebat dugaan yang pakcik itu tempuhi, aku baru sahaja memasuki tahun ke-3 bersama Alisya, tapi pakcik tu? 40 tahun!!! Masya'Allah! Bukan sedikit masa dan pengorbanan yang perlu di lakukan, namun... hati yang tabah mengatasi segalanya!

Ummi: Yelah cik, dah Allah nak beri kat kita. Orang lain ada jugak tak merasa jadi mak, ayah. Sekurang-kurangnya zuriat kita sendiri kan cik. Mana ada ibu yang mengandung, mintak doa yang tak elok untuk anak-anaknya? Semua nak yang cantik, semua nak yang sehat, yang cerdik. Tapi yelah...

Pakcik: Iye nak, betul tu. Siapa nak anak yang tak sehat? Sebab tu jaga baik-baik anak ni. Sedih pakngah tengok kau ni. Anak sulong ye... Sabar banyak-banyak ye nak... Allah nak uji.

Tiba-tibanya air mata pakcik tu mengalir jua. Alahai pakcik ni, memanglah saya pun dah ketepi ketengah dah air mata ni, suara pun dah ketar-ketar aje nih! Puas saya tahan tanak jatuhkan air mata. Aleh-aleh tengok pakcik menangis, terus saya pun lembik!

Pakcik: Pakngah faham perasaan kau nak. Bukan senang kita nak terima hakikat. Anak pakngah tu perempuan, boleh merangkak je. Tapi cakap pun pandai, cuma pelat sikit. Tiap-tiap hari pakngah mesti talipon dia, tanya dah makan ke, sehat ke. Kene talipon pagi-pagi, kalau talipon petang sikit... mulalah merajok. Yelah, dia jauh kat felda sana tu... tu yang hari-hari kene talipon. Kalau pakngah balik kampung, nih... kaki pakngah ni, dia paut je. Tak kasi kita pegi mana-mana. (bergenang lagi air mata pakcik ini...)

Hebatnya kasih sayang seorang ayah yang menyara anak istimewa selama 40 tahun kan?! Entah berapa lama lagikah perjalanan anaknya itu, semuanya sudah direncanakan, diperkenankan, diizinkan dan ditentukan oleh Allah! Aku dan Alisya? Wallahualam. Sejauh mana lagi Alisya 'dipinjamkan' oleh-Nya untuk kami, sungguh aku tiada jawapannya. Yang nyata, jauh lagi pengalaman yang harus ku kutip! Masih nipis lagi kesabaran ku dalam melayani kerenah anak ini. Tapi pakcik tu? Tak tergambar dek akal fikiran mengenangkan kuatnya semangat pakcik tu, cekalnya hati dia dalam membesarkan amanah Allah itu! Subhanallah!!!

Pakcik: Cantik orangnya! Ahhaaai, cek mek molek... (sekali lagi pakcik tu menyanyi untuk Alisya sambil tangan anak ini tak lepas dari genggaman pakcik tu)... Haiii... sabar ye nak. Pakngah nak balik dah ni, kirim salam kat orang rumah. Ada rezeki, kita jumpa lagi.

Dan pakcik tu pun berlalu pergi. Sebenarnya, banyak lagi perkara yang kami bualkan bersama. Bab petua, bab nasihat, bab kelahiran Alisya, bab pengalaman membesarkan anaknya. Alisya hanya tersenyum menggedik! Terima kasih pakcik, segala cerita-ceriti kita pada pertemuan itu akan saya sematkan sebagai panduan dalam membesarkan anugerah Illahi ini. Insya'Allah.

Kita hanya merancang, Dia juga yang menentukan. Sehebat mana dugaan yang aku dan abang tempuhi, pasti hebat lagi dugaan pakcik dan isterinya lalui! Subhanallah... Kun-fayakun!!!

Thursday, January 27, 2011

:: Kami Tersadai Di Jalanan...

Peningnya kepala!!! Dah naik benak otak nih dok memikirkan masalah kereta yang tak pernah putus! Yang dahsatnya, setiap hujung bulan pula tu dia bermasalah. Yakni setiap kali duit poket penuh, masa tu lah kereta pun nak buat hal. Apakah suratan?

Pagi tadi, dalam perjalanan ke ofis... tiba-tiba abang menghentikan NBD kami di bahu jalan. Hati aku dah rasa tak sedap. Perut??? Jangan cakaplah, mulalah dah macam dragon bertapa kat dalam ni. Abang cuba untuk menggerakkan NBD semula, tidak berhasil. Masalah besarnya, gear tak mahu masuk langsung. Hampir 20 minit kami tersadai anak-beranak di laluan MEX menuju ke Bangsar. Di highway!!! Apalah nasib kami hari ini!

Alisya pun haruslah turut ada bersama kami. Kesian anak ummi, tengah sedap dibuai mimpi... tiba-tiba terpaksa menghadap kekalutan ummi dan abi dalam menangani masalah kereta kita nak. Maafkan kami ye sayang!

Setelah berbalas-balas panggilan telefon dan sms daripada 2-3 orang pomen, serta peronda MEX yang entah dari mana tiba-tiba muncul di tempat kejadian, akhirnya kereta kami berjaya untuk bergerak semula. Cubaan yang sangat-sangat berhati-hati, tetapi... tidaklah berpanjangan pergerakannya. Sekadar untuk 3 kilometer sahaja. Masih tidak sampai ke destinasi sebenar. Kami tersadai sekali lagi di tol NPE pula. Aduhhh!!! Namun peronda NPE tidak lokek dengan bantuan. Segera mereka menolong kami menolak kereta ke tempat yang lebih selamat. Sungguh kami hargai niat baik mereka. Terima kasih!!!

Makin resah dah hati ni. Telefon kami tak berhenti berdering. Hingga tiba panggilan daripada mertuaku. Mendengar suara Mak Ton dihujung talian, aku dah tak boleh nak tampung lagi air mata ni. Menitis jua! Entah kenapa sedeh sangat rasanya. Sedeh yang tak dapat nak dibendung lagi. Mak Ton juga kedengarannya seperti benar-benar simpati. Mahu taknya, cucu kesayangan ada bersama. Pasti mak terlalu kesiankan Alisya. Yang peliknya, anakku benar-benar tidak resah dan tidak kesah. Malah, sempat tersengeh-sengeh dan tersenyum lebar pula. Entah apalah yang Alisya fikirkan, mungkin dia seronok sebab ummi dan abi boleh EL lagi dan terus tidak perlu ke pejabat. Dapatlah Alisya bermalas-malasan dengan ummi dan abi ye. Maaf nak, hanya abi yang cuti... ummi perlu ke pejabat. Sebab ummi baru sahaja mengambil cuti kecemasan Isnin lalu. Maaf ye Alisya!

Urusan menarik kereta oleh tow truck untuk ke bengkel sudah selesai. Masalah aku mahu ke pejabat dan menghantar Alisya ke Ibu Daycare juga sudah selesai. Alhamdulillah, walaupun terpaksa meminta bantuan papa Dania. Hanya dia yang terlintas di fikiran ketika itu! (Tenkiu ye Encik Supit!!! Maaf menyusahkan kamu!)

Buntu kami seketika dibuatnya! Kenapalah masalah tak pernah putus dari hidup ini? Tambahan pula masalah berkaitan kereta, kereta, kereta! Sejak selepas raya tahun lalu, kami dihimpit masalah kereta yang cukup kronik! Arrgggghhhh!!! Pening dan malas untuk difikirkan lagi, memang mudah untuk mendengar nasihat orang luar; belilah kereta baru. Ya, memang sangat mudah mendengarnya, tetapi bahu yang memikul???

Hanya satu doaku, semoga segala urusan harian kami dipermudahkan-Nya. Serik rasanya mahu mempercayai kebolehan NBD!!! Akan tetapi, dia jugalah yang telah banyak berjasa kepada kami!!!

Mode; Jiwa berkocak, meruntun sedih! Dalam hati ada telaga burok!!!

Monday, January 24, 2011

:: Alisya Nak Adik...(kottttt!!!!)

Menaip dari rumah. Terpaksa memohon cuti kecemasan gara-gara anak ku dilanda 'hangin ribut'! Mengamok tanpa pasal dan sebab musabab yang kukuh. Kalau ku hantar juga Alisya ke Ibu Daycare hari ni, pasti baru jam 12 Ibu Daycare dah surrender! Amukan anak ini tak dapat dibendung untuk hari ni, makanya adalah lebih baik ummi EL!!!

Alisya tak demam, tidak selsema, cuma batuk sekali-sekala. Tapi ku rasa, bukan itu yang menjadi punca amukan gerhana cek embun ku ini. Sabtu lalu, puas aku dan abang membawa Alisya bersiar-siar ke tempat kegemarannya. Bukan main senyum meleret lagi, tiada sebarang bunyi tidak puas hati pun. Pulang sahaja ke rumah mulalah nak mengamok, melalak sakan. Kenapa nak?

Muka tak puas hati Cek Embun ku!
Entah apa yang tak kene agaknya?


Ummi dan abi sungguh tak faham. Nak kata perut Alisya sakit, rasanya cemerlang dah beraknya. Habis dah segala sisa toksik dikeluarkan. Nak kata tak puas berjalan, lama dah kita dok 'keras' kat Ikano tuh! Nak kata lapar, ummi dah suapkan makan. Susu pun makin kuat! Entah mana lagi yang tak kena gayanya. Haihhhh Alisya ku sayang, janganlah buat ummi jadi pekerja yang bermasalah. Ye, memang ummi pentingkan anak dari kerja. Kalau boleh, jika ada pilihan... surirumah adalah impian dan cita-cita agungku tatkala ini. Mahu menjaga Alisya depan mata, mahu membesar dan menghadap segala kerenah anak ini dengan tangan sendiri. Ohh anakku!!!

Apakah sebenarnya kesakitan yang kamu alami nak? Firasat ku dan juga Ibu Daycare, Alisya mungkin mahukan teman, adik sebagai kawan. Sedikit aku akui di situ. Ini kerana, ketika rumah kami dikunjungi Delisha, (anak teman baik ku)... Alisya tampak sungguh berseri-seri wajahnya. Mungkin penangan gomolan Delisha di badan Alisya membuatkan anak ini terasa dirinya bagai dihargai, punyai adik, teman yang sangat rapat untuk dia berkongsi rasa. Walaupun tiada sebarang ayat mahupun kata-kata dari bibir Alisya, tapi aku dapat rasakan... sungguh Alisya sangat senang dengan kehadiran bayi di sisinya! Alisya juga punyai hati dan perasaan bukan? Mungkin juga Alisya tak sabar mahu menjadi 'Kak Long'. Insya'Allah nak, andai kita diberi rezeki dan peluang untuk menambah ahli keluarga, pasti Allah makbulkan doa-doa kita. Semoga segala urusan kita dipermudahkan oleh-Nya.


Delisha, aura kamu sangat terkesan pada 'Kak Long Yah'...

** Sungguh, hati ummi dan abi ketika ini sedang membuak-buak mahukan zuriat lagi. Usaha tangga kejayaan, namun kita merancang... Allah jua yang menentukan! Semoga ada rezeki buat Alisya menjadi Kak Long!

Monday, January 17, 2011

:: Suam-Suam Kuku...

Rasa MALAS!!! Entah kenapa, mahu menghadap hari-hari berikutnya pun rasa malas yang amat! Apa lagi mahu berkarya agung di blog sendiri. Entah mana urat dawai yang dah bersimpul, membuatkan hati dan jiwa ini jauh melayang terbang sambil membawa perasaan yang sangat-sangat malas.

Jika diberi pilihan, aku mahu bercuti seminggu dua dari tugasan pejabat, mahu berpeleseran bersama Alisya, mahu bermelepetan bersama cik embun ku itu dan rasa mahu berada di bawah ketiak bondaku sambil menjamu, melantak dengan hebatnya masakan beliau! Ohhh... kenapakah begini?

Hmm..dah tak tahu nak ngomel apa pun, mungkin kisah ku ini disebabkan kerana 'kesentapan' terhadap sesuatu perkara yang sangat menyentuh emosi dan benak jiwaku. Biarlah, asalkan aku masih punyai suami tercinta dan anak tersayang. Oh suamiku, oh anakku... marilah kita sama-sama bermelesetan, bermalasan di Le' Bastion!!!