Saturday, September 25, 2010

:: Pahit Manis Aidilfitri...

Ramadan sudah pun berlalu pergi. Kini Syawal menjengah kembali. Salam lebaran, salam Aidilfitri buat semua rakan-taulan, sanak-saudara yang sentiasa di hati. Ampun dan maaf dipinta sebagai pengganti diri andai ada yang terasa hati.

Lamanya aku ambil masa nak update blog! Hihiii... bukannya tiada cerita, akan tetapi keterbatasan masa dan kehilangan mood membuatkan aku tersentap seketika untuk meneruskan aktiviti ini. Tambahan pula, dengan kedatangan Aidilfitri yang sedang rancak diraikan sana-sini, sebenarnya banyak memberi impak dan kesan yang mendalam dalam hati ini. Semenjak dari Ramadan tiba lagi, pelbagai cabaran dan ujian harus ku tempuhi demi Alisya! Sebagai hamba-Nya, hanya tawakaltulillah sahaja yang mampu ku panjatkan. Tiba hari kemenangan, yakni Hari Raya... ku fikirkan dapatlah diraikan dengan penuh kesyukuran, penuh kegembiraan. Namun, sebaliknya yang terjadi. Ada sahaja mulut-mulut yang tak tahu pahit manis pabila bertutur, ada sahaja perit jerih yang terpaksa aku dan abang lalui! Lumrah manusia kan, jika ada yang tidak molek di depan mata... cepat saja diperkatakan! Apabila yang indah terjadi, tiada pula kata-kata pujian diberi. Sabarlah hati...

Sebernarnya, agak teragak-agak untuk aku luahkan apa yang berlaku pada Aidilfitri lalu. Risau andai ada yang menyatakan, aku hanya berprasangka buruk. Takut jika ada yang menyifatkan hanya aku yang terasa! Hmmm... sedangkan aku yang hadapinya masih boleh memikirkan perasaan orang lain, kenapalah orang itu tidak boleh memikirkan terlebih dahulu, apa yang aku rasa tatkala mulutnya laju menyatakan 'sesuatu' yang tidak enak tentang anakku! Ya, anakku istimewa! Ya, anakku tidak sebaik, secerdik, seindah anak kamu. Ya, anakku banyak kekurangannya jika mahu dibandingkan dengan anak-anak kamu, cucu-cucu kamu! Bersyukurlah dengan apa yang Allah berikan pada kamu. Aku kah yang pinta untuk semua ini berlaku kepada Alisya Qaireen? Sedarlah, semua yang ada pada kita hanyalah pinjaman daripada Yang Maha Esa!

Bukannya dengan hanya setahun sekali berjumpa, pulak tuh di hari yang mulia... lalu sedap sahaja mulut kamu membicarakan "Anak kau nih apsal tengok atas jer? Ada benda yang dia tengok nih! Masa kenduri si polan arituh, anak kau nangis-nangis kan? Masa tuh aku rasa ada benda kat badan anak kau nih".............. Huh!!! Itukah kata-kata azimat yang sepatutnya telinga ini mendengar di Aidilfitri? Adakah dengan bercakap seumpama itu membuatkan kau bangga dan merasakan andaian kau tu tepat? Ustad kah? Atau ulama' kah diri kamu itu? Sedangkan solat Jumaat pun kau abaikan!!! Aku hanya mampu 'tersenyum'... senyuman yang sinis. Sakit hati bukan kepalang! Sedangkan aku tahu apakah yang anak aku hadapi. Sedangkan aku tahu kenapa anakku memandang ke atas, sedangkan sudah aku dapatkan kepastian daripada ustaz tentang keadaan Alisya yang asyik merenung ke atas! Sedangkan aku tahu bukannya 24 jam Alisya merenung ke atas! Andainya mulut ini pantas menjawab, pasti aku membidas... "Dia bukan tengok 'benda' atau hantu! Tapi dia tengok indahnya syurga Allah buat dia. Dia tengok cantiknya ciptaan Allah! Kau nampak? Taaaakkkkk... Kau tak nampak, tapi kau bijak buat andaian!"


"Abi... Alisya nampak wajah abi, ummi.
Tapi kenapa orang sakap Alisya nampak momok?"



Seperti yang aku katakan, kau hanya berjumpa anakku setahun sekali, berbanding aku yang menghadapnya setiap hari, saban waktu, setiap detik! Rasanya raya tahun depan, pasti akan ku dengari ayat yang sama andai Alisya memandang ke atas lagi. Hahahaaaaa.... panasnya muka nih menahan marah! Apakan daya, aku masih tahu menjaga hati orang, hati orang yang lebih tua daripada ku. Aku masih tahu menghormati dia!!! Tapi...........???? Tak apalah, biarkan sahaja mulut-mulut mereka sedap mengata! Memang tak menjadi nanah di kulit, akan tetapi gurisan yang tercalit di hati, hanya aku dan abang yang merasainya. Alisya? Pasti anakku mendengar kata-kata saudara tadi, kerana Alisya di pangkuannya ketika itu. Kecilkah hati anak ummi? Kesian kamu nak! Ummi yang melahirkan kamu pun, tak tergamak nak mengguriskan perasaan kamu, inikan pula orang yang tiada kena-mengena dengan hidup kita! Ummi tahu kamu faham akan setiap perbualan yang membabitkan kamu nak!

Terfikir juga, aku baru melalui ujian yang Allah turunkan sekitar 2 tahun setengah. Bagaimanakah pada mereka yang punyai anak istimewa yang sudah berbelas tahun? Berpuluh tahun? Pasti banyak kata-kata nista yang terpaksa mereka telan, pasti lebih banyak lagi rintangan mereka dalam membesarkan kurniaan Allah itu. Subahanallah... hanya kesabaran yang tinggi diperlukan. Dengan rasa rendah diri, aku maafkan sahaja si dia yang bercakap-cakap perihal anak ku ini. Biarlah, mulut manusia mana yang bisa kita tutupkan???


Biar pahit yang ummi telan,
biar getir yang ummi lalui...
ummi tetap sayangkan kamu!

Wahai anak ummi, andainya suatu hari nanti Alisya membaca coretan ini, maafkan ummi jika kamu terasa nak. Maafkanlah mereka... kita boleh menerima kritikan mereka, akan tetapi belum pasti mereka menerima kehadiran kita! Wallahualam......

Wednesday, September 01, 2010

:: Penyambung Zuriat Ita-Farid...

Anak ke-2 Ieda dan Shahril. Doakan agar ada rezeki kami.


Sekadar untuk menumpang kegembiraan dan keterujaan di hati. Tahniah buat sahabatku yang umpama saudara kandungku; Ieda dan Shahril kerana telah memiliki cahaya mata ke-2. Dengan ini, secara rasminya Dania (anak pertama mereka) sudah bergelar kakak / kak long! Harapnya Dania tak 'lupa' pada Sarra. Adik Dania dilahirkan secara caesarean kerana kaki beby terbelit dengan tali pusat. Tak apalah, asalkan semuanya selamat.


Keletah Dania untuk Sarra.
Aku juga mahu merasakan 'keletah' sebegini
dengan anak sendiri. Insya'Allah



Dania, harapnya kamu tak 'ketepikan' Sarra.
Ummi sayang kamu berdua yang kini bertiga pula.


Semangat dan keinginan ku untuk menambah zuriat, semakin membuak-buak! Seperti yang telah ku nyatakan sebelum ini, abang juga nampaknya semakin terkesima melihat beby. Makin tidak keruan mahu memberikan Alisya adik! Mudah-mudahan, Allah memakbulkan permintaan kami untuk menambah penyambung zuriat Ita dan Farid. Yang lebih utama, semoga Allah mengurniakan kami anak yang sihat agar anak itu dapat 'menjaga' kakaknya kelak bila mana aku dan abang pergi suatu hari nanti! Aku juga seperti isteri-isteri yang lain, mahu memberikan anak yang sihat, cergas untuk 'hiburan' suami dan boleh diharap untuk menjaga kakaknya kelak. Semoga Allah permudahkan urusan kami.


Abi dan Aina Delisha... persis Alisya!


** Ada masa, semangat ku mahu melahirkan anak secara normal, semakin membara. Ada tikanya, aku takut dengan risiko yang terpaksa ditanggung! Apa pun, hanya doaku andai Allah memberikan kami 'rezeki', biarlah ianya sihat. Sesungguhnya, kita hanya merancang, Dia juga yang menentukan... Bukankah Allah lebih mengetahui akan tiap sesuatu perkara itu, baik atau tidak buat hamba-Nya?

Thursday, August 26, 2010

:: Pagi Ini...

Ketika dalam perjalanan ke ofis, macam biasa... aku dan abang akan berborak pelbagai perkara. Pagi tadi, sedang senak mengharungi kesesakan sana-sini, tiba-tibanya Alisya melemparkan senyuman! Senyuman yang kami sendiri tak pasti kenapa... mungkin dia masih lagi terasa sisa-sisa kegembiraan semenjak berdating dengan abang Laddem nya! Hehee... tergelak kami melihat Alisya senyum!

Daaaannn.... untuk kesekian kalinya, abang dah bersetuju untuk menambah ahli keluarga kami! Alhamdulillah... masheh abang! Julung-julung kali abang nyatakan tadi kenapa harus kami memberi Alisya 'adik'! Terima kasih juga pada doktor Carmen kerana hujah anda telah membuatkan suami saya 'teruja'! Terima kasih suamiku kerana memahami akan rintihan hati isterimu. Sama-samalah kita mendoakan perkara yang baik ini. Amin...

Monday, August 23, 2010

:: Cerita Ramadan 1431...

Sudah masuk hari ke-13 kita berpuasa. Selamat berpuasa semua! Agak ketinggalan dalam meng-apdet cerita, kerana aku tidak punyai 'mood' yang baik lately nih...

Ramadan... hadir dengan 1000 harapan, datang dengan 1000 rahmat, tiba dengan 1000 nikmat! Mudah-mudahan aku sekeluarga mendapat hidayah pada Ramadan ini. Lebih-lebih lagi buat anakku, Alisya. Sedari Ramadan pertama, anak ini sudah menunjukkan 'ragamnya' yang tak terperi! Ummi tak perlu menunggu alarm berbunyi untuk sahur, tetapi Alisya dah sedia mengejutkan ummi pada jam 3 pagi. Adakala jam 2 pagi! Walhal ummi baru masuk tido pukul 12 malam. Kenapakah? Kerana Alisya meragam sekoyan! Sangat-sangat meragam.

Ummi dan abi buntu... tak tahu apakah punca anak ini jadi tak keruan! Demam tidak pula. Jika erjaga dari jam 2 pagi, membawa hingga ke subuh pun belum tentu elok ragamnya. Wallahualam... kesabaran ummi dan abi makin tipis dibuatnya. Biasalah, sesekali hinggap juga tangan ummi kat pampers Alisya. Bila dia dah tido, terasa benar 1000 kekesalan menerpa diri ini! Bodohnya ummi memperlakukan Alisya sebegitu. Bukan Alisya pinta, apalagi dia tidak tahu bersuara mana yang tak kena. Kesian anak ummi. Maafkan ummi nak! Ummi tak dapat nak kawal amarah yang makin membuak!

2 hari aku terpaksa mengambil cuti kecemasan. Andai ku hantar juga Alisya ke rumah beby sitternya, pasti lebih merunsingkan ibu. Silap-silap, ibu pun tak dapat 'handle', lalu tak sampai 2 jam di ofis nanti... aku dan abang harus bawa anak ini pulang semula. Sudahnya, EL adalah jalan terbaik! Sepanjang menjaga Alisya di rumah, anak ini tak boleh diletak, tak boleh dibaringkan, tak boleh lekang dengan ummi. Haihhhh... penin ummi dibuatnya! Mujur puasa, tak perlu nak masak or mengemas giler-giler. Memang dok mengadap Alisya sahaja. Wahai anak... apakah masalah kamu sayang?

Akhirnya aku dan abang ke klinik lagi. 2 klinik kami pergi, semuanya tiada doktor. Ouuu... mahu bersiap untuk berbuka kot. Tak apelah, kaki terus melangkah ke klinik yang ke-3. Klinik Mega. Alhamdulillah, doktor ade... kerana doktor itu tak perlu berbuka puasa. Doktor perempuan, Carmen namanya. Melangkah sahaja ke bilik doktor, aku terus memberitahu yang Alisya CP. Tak perlu nak disorok status anak sendiri! Seronok pabila mendapat khidmat daripada seorang doktor yang juga punyai sepupu CP seperti Alisya. Secara tak langsung doktor Carmen banyak memberi tunjuk ajar, rangsangan dan pandangan yang sangat-sangat berguna buat aku dan abang!

Sepupunya yang CP itu, (lelaki) sudah berumur 35 tahun!!! Kuasa Allah, selama mana Dia mahu hamba-Nya hidup, selagi itu nyawa masih dikandung badan! Dan lelaki itu sudah bekerja di supermarket Giant sebagai penolak troli. Sungguh!!! Aku terasa bertuah andai Alisya mampu berdikari sejauh itu. Sekurang-kurangnya apabila mata ini 'tertutup' nanti, aku tahu Alisya boleh menguruskan diri! Sepupu doktor tadi mampu bercakap di kala umurnya 30 tahun! Masya'Allah... anugerah Allah. Lambat-laun, bercakap jua. Pasti ibu bapanya tidak pernah berhenti bercakap, berborak dengan anak itu. (Seperti yang aku lakukan terhadap Alisya, faham atau tidak... aku tetap teruskan. Kerana aku yakin, Alisya memahami umminya!) Pasti ibu bapa lelaki itu banyak berdoa! Walaupun bukan beragama Islam, namun... doktor Carmen sangat mempercayai akan kurniaan Tuhan, rezeki Tuhan dan doa yang dipanjatkan kepada Tuhan!

Seterusnya, Alisya dirawat. Akhirnya, untuk kesekian kalinya... Alisya perlu di-neb. Kahak terlalu banyak. Pertama kali bagi Alisya... dan pertama kali juga bagi aku menyaksikan bagaimanakah sesi nebulizer itu berlaku! Aku tak pernah melaluinya selama 29 tahun hayatku! Jakunkan? Walaupun suami sendiri pernah di-neb, namun aku tak tahu bagaimanakah rupa bentuk neb itu! Hahaaaa.... kesian ummi! Kesian lagi Alisya, agak terkesima ummi melihat betapa rileksnya Alisya ketika di-neb! Maafkan ummi kerana tidak bertindak lebih cepat... lalu membiarkan Alisya mengamok dan terus mendapat 'habuan' tak sepatutnya dari ummi! Ummi yang bersalah. Maafkan ummi sayang!


Kesian anak ummi. Mulanya marah, lama-kelamaan...
Alisya rasa tenang, lega dan lalok pon ade!


Di luar bilik neb, doktor Carmen memeriksa abang kerana abang juga sepertinya tidak berapa sihat. Macam-macam gelak-tawa yang ku dengar. Apakah yang mereka bualkan? Gelakkan? Selesai meng-neb Alisya, aku ke bilik doktor semula. Barulah aku faham kenapa, rupanya doktor Carmen mengesyorkan agar Alisya diberi 'adik' secepat mungkin! Terus sahaja doktor memberi abang MC esoknya. Hahaa... tergelak aku dibuatnya. Hmmm... abang, 'pandai-pandailah' faham apakah maksud ayang selama ini. Doktor Carmen juga sependapat dengan ayang! Maka... tepuk dada, tanya sama itu hud-hudlah ye bang! Memang banyak baik dari sebaliknya. Insya'Allah... rezeki Allah tak pernah putus buat hambaNya. Hanya hambaNya sahaja yang tak tahu bersyukur!

Habis cerita Alisya dengan doktor Carmen, ummi nak cerita pula pasal satu kejadian yang tak diduga langsung! Alisya jatuh buai!!! Subahanallah... pun pertama kali buat anak ini. Buai Alisya patah dua! Bagaikan terhenti jantung ummi bila menyaksikan sendiri kejadian ini depan mata. Alisya bagaikan tersembam jatuh... 'kedebuuukkkkk'!!! Macam nangka busuk jatuh, menjeritlah ummi. Abang pun yang baru nak lelap seketika selepas sahur, terus terjaga dan mengucap panjang! Ummi dah gelabah dah... dah pikir yang bukan-bukan. Risau kalau ada yang patah, andai anak ini muntah-muntah, risau jika ada kesan sampingannya yang ummi tak perasan. Walhal anak ini sedikit pun tidak menjerit sakit, mahupun meraung menangis sekuat hati. Huhhhh... sungguh ummi rasa kesal masukkan Alisya dalam buai sahur pagi tuh. Menjelang tengah hari, aku menyuruh abang pantau Alisya. Giliran abang untuk menjaga Alisya, kan abang dapat MC dari doktor.

Alhamdulillah, Alisya tak apa-apa. Bagaikan Allah menurunkan para Malaikat untuk menyambut anak ini dari tercedera teruk. Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah...
Hari ini, Alisya makin baik sikapnya. Hanya sesekali dia mengamok. Biasalah tuh, Alisya dan kamok-kamok mane boleh pisah??? Macam-macam ujian buat kami awal Ramadan 1431 ini. Semoga Allah terus merahmati dan memberkati kami serta kalian di luar sana. Amin... selamat meneruskan ibadah puasa...


Pinjam 'terapi' Nabila. Masheh ibu Noina,
beri info sebegini untuk Alisya.



** Blog dibuka semula atas sebab dan alasan yang munasabah. Entahlah... kucar-kacir sebenarnya! Biarlah dengan 'mereka-mereka' yang tak penting dalam hidup aku tuh! Doakan saja mereka bahagia...

Thursday, August 05, 2010

:: Secangkir Senyuman Menusuk Kalbu...

Senyuman seindah mentari yang menyinar daripada anakku, cukup untuk melenyapkan segala kekusutan yang sering aku alami! Senyuman penawar duka, apatah lagi senyuman yang terukir di bibir Alisya, satu-satunya senyuman yang sangat aku tunggu! Biarlah ianya hanya seketika, tidak berlarutan, apatah lagi tidak sekali pun diiringi dengan kekekan dan gelak tawa kecil... namun cukup membuatkan hati ini berbunga riang!

Ya, Alisya masih belum mapu memberikan aku dan abang gelak tawa yang sewajarnya. Alisya masih jauh ketinggalan jika hendak dibandingkan dengan rakan-rakannya yang senasib. Jika nak dibandingkan dengan anak seusianya yang sehat, lagilah jauh di belakang! Alisya masih tidak berupaya ketawa apabila dikeletek, masih tiada tindak-balas yang mengujakan jika berinteraksi dengannya. Alisya masih lagi di takuk di mana dia tidak mampu memberi respon yang spontan jika bermain dengannya. Biarlah... aku tidak mahu terlalu 'mendesak', jauh sekali mahu membezakan Alisya dengan anak yang lain! Ini janjiku pada Alisya!!! Tidak mendesak bukan bermakna aku tidak berusaha ke arah yang lebih baik, tetapi aku tidak akan pertikaikan keupayaan Alisya kerana hanya aku yang memahami dan mengetahui sejauh mana kebolehan dan usaha anakku! Mungkin masanya akan tiba jua nanti.

Bagi ummi, Alisyalah yang paling menawan!
Senyuman inilah pengubat duka lara di hati... :)

"Ummi tidak akan membandingkan adik dengan kawan-kawan adik. Ummi tahu tahap keupayaan anak ummi dan yang pasti ummi yakin, suatu hari nanti Alisya pasti dapat 'membanggakan' ummi dan abi! Ummi yang mengandungkan adik, ummi yang melahirkan adik, ummi yang menyusukan adik! Tak sanggup ummi mahu kecilkan hati anak ummi dengan membandingkan kebolehan adik dan kawan-kawan adik, sebabnya ummi tahu bahawa anak ummi juga punyai perasaan dan faham akan setiap yang ummi bualkan bersama. Ummi tahu, hari itu akan tiba jua... di mana Alisya tidak akan berhenti dari tersenyum, seterusnya terkekek-kekek gelak-ketawa bersama ummi!".....

Abang juga pernah dibuai rasa yang sangat menggembirakan. Satu situasi di mana tatkala kami sedang berbincang dan berbicara mengenai sesuatu yang sangat merumitkan, sangat merunsingkan hati... tiba-tiba Alisya melemparkan senyuman yang sungguh meleret! Sungguh mendamaikan jiwa aku dan abang sekelip mata! Masih aku ingat senyuman itu. Mungkin ketika itu Alisya mendengar keluhan kami, lalu anak ini tidak mahu ummi dan abi terus-terusan runsing, maka hanya dengan senyuman yang menawan mampu membuatkan ummi dan abi terubat seketika! Dan sehingga hari ini, Alisya masih memberikan aku dan abang senyuman seumpama itu! Walaupun bukan setiap hari, bagiku itu adalah perkembangannya yang positif!

Tidak mengapa nak, ummi tetap sabar menunggu detik itu. Ummi tetap berdoa agar Allah beri ummi dan abi nikmat 'bergelak-tawa' dengan anak ummi ini! Mungkin ummi perlu lebih banyak bersabar... ummi tunggu! Walau 1000 tahun lagi, ummi tetap tunggu senyuman daripada anak ummi ini! Kerana hanya senyuman Alisya lah pengubat, penawar bagi hati ummi ini! Ummi sayang kamu; Alisya Qaireen!!!


** Masih banyak cerita yang tidak kesampaian. Adakala ummi rajin, ada masa ummi sangat malassssssssssssssss!!!

Monday, July 19, 2010

:: Cinta Lokasi...

Cinta ke-9 kami. Hanya candle lite dinner @ Le Bastion!


Simple-dimple... but full of love!

19 Julai... 9 tahun sudah usia perkenalan, perkasihan, percintaan aku dan abang. Alhamdulillah! 9 tahun, bukanlah jangka masa yang singkat. Selama 9 tahun, pelbagai dugaan yang aku dan abang tempuhi. Alhamdulillah, kami masih dipanjangkan jodoh dan umur.

Cinta lokasi? Hahaaa...kami berkenalan di UiTM Lendu. Classmate! Cerita cinta kami macam cerita dongeng, macam cerita jula-juli pun ade! Hihiiii...banyak sangat momen yang tak buleh dilupakan. Manis? Haruslah. Saat bercinta, semuanya indah belaka. Yang pahit, lama dah aku kuburkan! Biarlah aku dan abang terus simpan kenangan cinta kami yang dah lepas. Kenangan cinta yang mendatang, pasti lebih bermakna kerana adanya Alisya di sisi!

Mereka adalah cintaku sampai hujungnya...

Semoga kasih dan cintaku buatmu, Farid Hanif... akan terus bersinar, bak suria yang menyinari harinya! Ayang bersyukur bersuamikan abang... luv u till the end!

** Tak sempat nak meraikan cinta ke 9 tahun kerana abang sangat sebuk. Kerja opis perlu dibawa pulang. Ummi dan Alisya menunggu setia sampai abang free, then kite hang out dinner together ye! Luv u...

Saturday, July 17, 2010

:: Hidup Tidak Selalunya Indah...

Sakit!!!! Sangat sakit! Sekali lagi aku dan abang diduga dengan ujian yang ku kira sememangnya berat! Tidak pernah kami terfikir akan melalui situasi sebegini hebat! Benar... hidup tidak selalunya indah dan tersusun rapi! Adakala, benda yang kita mahu... belum tentu akan kita kecapi. Akan tetapi, sesuatu yang kita tidak mahu itulah, hadir tanpa diundang!

'Keperitan' itu hanya aku dan abang dapat merasainya, bagaikan menusuk ke tulang putih! Aku tertanya sendirian; kenapalah aku harus melalui semua ini? Dalam ramai-ramai adik-beradikku, kenapa aku yang harus menanggung seksa ini? Ujian Allah itu adalah berbeza-beza. Ya, aku harus kuat! Aku harus menahan 'sakit perit' itu demi Alisya! Ummi cuba sayang. Andai sudah termaktub... untuk memulihkan anak, ibu dan ayahnya harus menanggung kesakitan itu... aku terima, aku akan lalui semua itu! Asalkan aku dan abang mendapat keberkatan dan petunjuk Illahi, demi memulihkan anak ini.

Aku sedar, tidak mungkin Alisya dapat menjadi senormal anak-anak yang lain. Pasti akan ada 'kekurangannya' jika pun Alisya dapat berjalan dan menguruskan diri kelak. Ikhlas dari hati seorang ummi, cukuplah andai itu yang ditakdirkan Allah. Sememangnya hati ini mahu melihat anak kesayangan jauh lebih hebat. Hati ini sentiasa berdoa dan memohon yang lebih indah untuk Alisya. Namun... aku mengerti akan setiap perkara yang terjadi!

Lama sudah aku tidak merasai dan meratapi kesedihan hati berkaitan Alisya. Mampukah aku harunginya sekali lagi? Apa yang terjadi pada aku dan abang hari ini, pernah kami laluinya dulu. Selalu aku bermohon, agar situasi ini tidak hadir lagi. Akan tetapi... setiap yang direncanakan Allah, punyai maksud yang tersendiri! Abang, harapnya abang kuat untuk menempuhinya demi anak kita. Dari mana puncanya, usahlah di bangkitkan. Ayang hanya bersandar pada abang, pada suami yang sangat ayang sayangi!!!